Wednesday, April 30, 2008

Madah Pujangga Arab

  1. Jika benar niat kita, mudahlah jalan penyelesaiannya.
  2. Uji rakan kita dahulu, sebelum kita menaruh kepercayaan kepadanya.
  3. Banyak tidur, bertambahlah kebebalan kita.
  4. Jiwa yang tenang adalah sebaik-baik harta manusia.
  5. Mengenali seseorang adalah berdasarkan buku yang dibacanya.
  6. Sebaik-baik perkara adalah pertengahan.
  7. Pengalaman adalah puncak realiti.
  8. Fakir miskin tanpa berhutang adalah orang kaya yang sebenarnya.
  9. Kemalasan asas segala kejahatan.
  10. Belajar semasa kecil ibarat mengukir di batu keras, belajar semasa dewasa ibarat menulis di air tenang.

Jika Nak......

Jika nak jadi bunga, jadilah bunga yang harum.
Jika nak jadi batu, jadilah batu permata.
Jika nak jadi burung, jadilah burung yang terbang laju.
Jika nak jadi manusia, jadilah manusia yang berguna.
Jika nak belajar, belajarlah bersungguh-sungguh.
Jika nak buat sesuatu, buatlah sehabis baik.
Jika nak berbudi, biarlah pada kedua ibu bapa.
Jika nak hidup, hiduplah dengan nama yang baik.

6 Wasiat Saidina Umar Al-Khatab R.A.

  1. Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu kerana celamu lebih banyak darinya.
  2. Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu kerana tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.
  3. Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah Allah kerana tidak ada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih sopan santun kepadamu selain Allah S.W.T.
  4. Jikalau engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia kerana andaikata engkau meninggalkannya bererti engkau terpuji.
  5. Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati kerana jika engkau tidak bersiap sedia untuk mati, engkau akan menderita dan rugi penuh penyesalan.
  6. Bila mana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah akhirat kerana engkau tidak akan memperolehinya kecuali dengan mencarinya.

Tuesday, April 29, 2008

MAKNA DI SEBALIK BUNGA

  1. Lily = Suci
  2. Daisy = Suci
  3. Ros Kuning = Cemburu
  4. Ros Merah = Cinta, Ghairah
  5. Ros Putih = Keceriaan
  6. Ros Pink = Gila berahi
  7. Bunga Kembang Pagi/Violent = Kesetiaan
  8. Dahlia = Berubah-ubah/Tidak tetap
  9. Cavnation = Persahabatan/Kegembiraan
  10. Kaktus = Ketahanan/Berkembang
  11. Bunga Cina/Gardenia = Berbudi bahasa
  12. Kekwa = Harapan
  13. Orkid = Keghairahan
  14. Lilac = Tidak ghairah
  15. Tulip Merah = Bersemangat
  16. Jasmine = Tuah
  17. Lavender = Kecurigaan/Kesangsian
  18. Water Lily = Kebenaran
  19. Bird of Paradise = Permulaan/Teruja
  20. Bunga Matahari = Lanjut usia

Hadiah Terbaik

Kepada Kawan = Kesetiaan
Kepada Musuh = Kemaafan
Kepada Ketua = Khidmat
Kepada Yang Muda = Contoh terbaik
Kepada Yang Tua = Hargai budi mereka dan berbaktilah
Kepada Pasangan = Cinta dan ketaatan
Kepada Manusia = Kebebasan


Wednesday, April 23, 2008

Keadilan untuk semua

PEMERINTAH, PEMBANGKANG = SIANG, MALAM.

Tiupan angin kencang melanda politik Malaysia apabila parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) hanya memperolehi majoriti mudah iaitu 140 kerusi parlimen, berbanding 148 kerusi untuk mendapat majoriti 2/3. Tsunami politik ini menyaksikan buat pertama kalinya BN gagal memperolehi majoriti 2/3 dan parti pembangkang, Barisan Alternatif (BA) mendapat 82 kerusi parlimen.

Rakyat telah membuat keputusan dan memilih pemimpin mereka secara demokrasi. Kuasa di tangan rakyat. Sekarang, tiba masanya pemimpin atau wakil rakyat yang dipilih untuk berkhidmat dengan adil, amanah dan berjuang untuk kepentingan dan kemenangan rakyat. Kepada wakil Rakyat yang tidak terpilih dan gagal dalam proses demokrasi baru-baru ini, janganlah berasa kecewa. Teruskan berkhidmat kepada rakyat. Jasamu pasti dikenang dan dinilai secara kritis oleh rakyat. Semasa hidup kita menyumbang, apabila tiada pasti kita dikenang. Khidmat anda masih diperlukan.

Kata pujangga, dunia ini bagai roda,
Bisik ahli falsafah, dunia ini ada pasang dan surutnya,
Suara alam pula berkata, ada yang baru, jangan lupa yang lama,
pergi yang tua, pasti muncul yang muda.

Kepada semua wakil Rakyat, sejambak bunga penghargaan atas kemenangan semua. Anda pilihan rakyat. Inilah masa untuk membuktikan bahawa anda pilihan terbaik dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat. Tunaikan janji-janji manifesto pilihanraya untuk kepentingan rakyat. Lahirmu ibarat sehelai sutera, menunggu waktu untuk dicorakkan warna. Rakyat akan menilai prestasi anda untuk diberikan merit dan undi dalam pilihanraya akan datang. Janganlah jadi kaya janji, miskin nilai. Penuh slogan, kosong pencapaian. Ingatlah, gagasan survival bangsa, menebus kehilangan, mengisi masa depan. Berkorbanlah seperti matahari, mampu menerangi orang lain sementara diri tetap cemerlang dengan sinar bahagia yang berpanjangan. Janganlah mudah meleleh kerana suasana, mudah hilang kerana godaan. Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.

Setiap masalah ada punca dan sebab. Setelah mengkaji punca dan sebab itu, maka pemimpin dapat menyelesaikannya dengan mudah, cepat dan berkesan. Petua orang lama ada mengatakan tanduk ditanam, daging dilapah dan gulai dimasak. Tanduk ditanam bermaksud punca masalah adalah seperti kekejaman dan kezaliman. Masalah ini diibaratkan seperti tanduk kerana sifatnya yang tajam dan keras. Tanduk atau masalah ini perlu ditanam supaya tidak membahayakan orang lain. Daging dilapah bermaksud punca masalah adalah seperti hasutan dan fitnah. Masalah ini digambarkan seperti daging yang perlu dilapah untuk mengasingkan yang mana baik dan buruk. Dan gulai dimasak bermaksud punca masalah disebabkan perbezaan pendapat, cara berfikir, ideologi politik dan latar belakang. Ini diibaratkan seperti rempah ratus, asam garam dan gulai yang perlu digaul dan dimasak untuk menjadi suatu hidangan yang lazat dan sedap dimakan. Inilah pemimpin terbaik sepanjang zaman seperti Rasulullah S.A.W.

Wakil Rakyat tidak kira dari parti pemerintah atau pembangkang perlu berganding bahu untuk memastikan pembangunan dan kemajuan Malaysia dapat diteruskan dan dipacu ke suatu dimensi kemajuan global yang memberikan impak dan kesan menyeluruh kepada rakyat. Aspirasi dan kehendak cita-cita rakyat perlu diutamakan berbanding cita-cita peribadi wakil rakyat. Perkongsian kuasa di antara parti pemerintah dan pembangkang adalah rahmat kepada Rakyat. Hubungan dan perkongsian kuasa kedua-duanya dapat diterjemahkan melalui dialog siang dengan malam ini : Kata siang kepada malam, “ Aku sangat cemburu dengan kegelapanmu, namun masih dapat mengerdip bintang kejora dan rembulan yang terang mengembang”. Tapi balas malam kepada siang, “ Aku juga iri kepadamu kerana terangmu disinari sang suria serta bayu berpuput lembut menghembus wajahmu”. Wahai alam, marilah kita khabarkan kepada siang dan malam bahawa keduanya memang amat diperlukan untuk melengkap dan menggenapkan putaran waktu dan hari.

Begitulah kisahnya di antara parti pemerintah dan pembangkang yang diibaratkan seperti perkongsian siang dan malam. Benci jangan terlalu, sayang mesti selalu. Ingatlah, pemimpin tidak lahir dari kilang percetakan dan dewan kuliah, sebaliknya pemimpin yang berjiwa besar harus berada di tengah-tengah kemelut masyarakat dan berusaha menjadi jurubicara ummah.

Pantun dari Wakil Rakyat :
Kejar sudah berlari pun sudah,
Berhenti saja yang aku belum,
Kempen sudah pilihanraya pun sudah,
Berbakti saja yang aku belum.

Pantun dari Rakyat :
Padi hutan di dalam pasu,
Buah berangan panjang sekerat,
Janji-janji tuan kami tunggu,
Jadi kenangan sepanjang hayat.

Selamat berkhidmat kepada semua.

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera semua...

Alhamdulillah, segunung kesyukuran saya kembalikan kepada Allah S.W.T, kerana dengan limpah dan kurnianya, dapatlah saya menghasilkan blog sendiri untuk menyatakan pendapat, pendirian dan berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman dengan semua.

Selamat datang ke magik-7.blogspot.com

Kotornya hidup berjemaah lebih baik dari jernihnya hidup berseorangan.